Sunday, August 30, 2009

Ramadhan Sia-sia Tanpa Fokus

Sepertimana yang telah kita ketahui, bulan Ramadhan ada kelebihannya yang tersendiri yang tidak dapat di dalam bulan-bulan lain disamping tuntutan melaksanakan ibadah berpuasa yang menjadi trademark bulan Ramadhan. Kelebihan yang ada merupakan salah satu daripada banyak-banyak nikmat yang Allah berikan kepada kita diantaranya, Allah menjadikan setiap bulan-bulan Islam itu ada kelebihan dan ceritanya yang tersendiri. Bagi bulan Ramadhan, ibadah puasa dan ibadah-ibadah lain yang dilakukan akan mendapat ganjaran pahala berganda. Ianya juga menjadi titik tolak kepada keberjayaan seseorang dalam mencapai pangkat 'muttaqin' sebagaimana yang disebutkan di dalam firman Allah s.w.t :

"Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa." (Surah Al-Baqarah, ayat ke-183).

Ya ! Taqwa menjadi kayu ukur kepada pencapaian seseorang itu sebagai hamba Allah. Tanpa taqwa , hidup seribu tahun pun ia tetap tidak berguna. Maka apakah kunci taqwa? Salah satu jawapan yang boleh saya kongsi ialah 'fokus'.

Sebenarnya setiap ibadah yang dilakukan samaada di dalam bulan Ramadhan mahupun diluar bulan Ramadhan perlu kepada fokus. Ibaratnya seperti pertandingan menembak. Mata yang memerhati objek itu tidak boleh hilang fokusnya. Sekiranya si penembak gagal mengawal matanya serta anggotanya supaya sentiasa di dalam keadaan fokus, maka objek yang ditembak pasti tidak mengena. Maknanya di sini, fokus boleh diterjemahkan dengan beberapa maksud. Diantaranya ialah khusyu' dan kata kuncinya ialah sebagaimana sabda Nabi s.a.w:

"Engkau beribadah seolah-olah engkau melihat Allah, maka sekiranya engkau tidak dapat melihatnya, sesungguhnya Allah melihat kamu."

Di awal surah Al-Mukminun, ada menyatakan bahawa fokus itu merupakan salah satu kunci yang membawa kepada kejayaan.

"Berjayalah orang-orang yang beriman. Iaitu mereka yang khusyu' di dalam solatnya."

Jika kita lihat, semasa bulan Ramadhan, antara ibadah-ibadah utama yang dituntut untuk dilaksanakan ialah berterawih, membaca Al-Quran dan bersedekah. Maka, yang dikatakan pahala amalan akan digandakan ketika bulan Ramadhan adalah bergantung kepada kualiti dan kuantitinya. Kalau terawih kuantiti rakaatnya banyak akan tetapi fokusnya sedikit , maka ganjarannya berdasarkan apa yang dilaksanakan. Apatah lagi, kalau tiada fokus lansung, maka ibadah tersebut menjadi sia-sia. Saya kadang-kadang terfikir, apakah matlamat kita sebenarnya? Kalau kita kata, kita inginkan keampunan, maka keampunan itu tidak akan diperolehi tanpa fokus.

Contohnya, fokus kita hilang ketika berpuasa atau ketika menunaikan solat terawih. Kita mengisi waktu puasa kita dengan perkara sia-sia bahkan lebih teruk lagi kita tuliskan di buku catatan amalan puasa kita dengan perkara-perkara dosa. Sedangkan, jika keampunan adalah matlamat kita, maka fokuslah kearahnya. Manakala solat yang tidak khusyuk itu sebenarnya tidak lebih hanya menyakitkan pinggang kita dan melenguhkan sendi-sendi kaki yang menahan bebanan berat badan. Maka solat kita musnah tanpa sebarang kesan akibat tiada fokus atau kekhusyukan.

Mungkin ada diantara kita, pernah melalui situasi ini, maka beristighfarlah. Saya yakin, syaitan pasti menyukainya. Diantara janji syaitan ialah mereka ingin melihat manusia berada di dalam keadaan faqir. Iaitu faqir pahala manakala sebaliknya mereka berjanji untuk menjadikan kita orang yang kaya dengan dosa. Bulan Ramadhan adalah bulan jihad. Orang kata syaitan tidak ada, tapi kita tahu nafsu masih ada dan takkan melepaskan kita kecuali maut telah tiba. Dan disitulah peranan jihad.


Jihad juga memerlukan fokus kerana jihad tidak terjadi andai tiada ujian dan cabaran. Maka, nafsu adalah cabaran utama bagi orang yang berpuasa. Contoh fokus di dalam jihad ialah, tidak membiarkan minda kita dikuasai kehendak nafsu yang mengurangkan atau menghilangkan pahala puasa ketika kita menurut kehendaknya yang tidak pernah puas. Puasa adalah perisai. Maka fokus adalah perlu bagi memperolehi puasa yang bermakna. Kalau hampir 14 jam kita menahan lapar dalam sehari, janganlah dengan sekelip mata di waktu berbuka, kita menjadi gelojoh. Sebaiknya berbukalah dengan cara sederhana supaya fokus kita berterusan tanpa gangguan nafsu yang sentiasa menggoda. Oleh sebab itu perut yang lapar dapat menajamkan fikiran manakala perut yang kenyang adalah sebaliknya.

Pengalaman berbuka puasa di dalam bulan Ramadhan adakalanya tidak membawa erti apa-apa jika tidak bersederhana. Natijahnya apabila tiba waktu menunaikan solat terawih, kita gagal memberi fokus melainkan hanya merelakan anggota digerak-gerakkan penuh paksa. Allah s.w.t berfirman :

"Celakalah bagi orang-orang yang sembahyang, iaitu orang-orang yang lalai di dalam sembahyang mereka." (Surah Al-Ma'uun : ayat ke-4 & 5)

Bagi diri saya, saya menyedari hal ini kerana adakalanya atau sering saja kita hilang fokus ketika bersolat begitu juga keadaannya ketika berpuasa. Sebenarnya tulisan ini, adalah untuk kita bersama lebih-lebih lagi diri saya. Maka, istighfar dan taubatlah sebagai jalan penghapus dosa. Iaitu dosa di atas fokus yang hilang dan dosa maksiat yang telah dilakukan. Ingatlah bahawa bulan Ramadhan juga adalah bulan taubat dan pengampunan.

"Barangsiapa berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharap pahala, niscaya akan diampuni dosa-dosanya yang telah lalu." (HR Bukhari, no. 1901; Muslim, no. 760).


Maka, fokus menjadi aset menuju taqwa. Ramadhan yang dilalui akan menjadi sia-sia tanpa fokus. Bersama jadikan madrasah Ramadhan sebagai momentum perubahan.


Sumber:iluvislam

Perutusan Ramadhan Pesuruhjaya PAS Pahang


"Oleh Dato' Tuan Ibrahim bin Tuan Man











Ramadhan menjelma lagi, ia datang dengan membawa rahmat dan keberkatan, Maka marilah kita mensyukurinya dengan mentaati segala perintah Allah, memelihara puasa dan menghidupkan malamnya dengan pelbagai ibadah. Ramadhan bukan sahaja bulan puasa, tetapi ia juga bulan ibadah, bulan al-Qur’an, bulan silaturahim, bulan perjuangan menegakkan kebenaran dan keadilan, bulan memisahkan antara hak dan batil.

Sabda Rasulullah s.a.w “Sesiapa yang berpuasa ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan keredhaan Allah, maka Allah akan mengampuni segala dosanya yang terdahulu”. Riwayat Bukhari.Pada Ramadhan kali ini, saya menyeru agar kita memelihara ibadah puasa kita, bukan sekadar menjaga makan, minum dan perkara membatalkan pada lahiriyah sahaja, sebaliknya marilah kita memelihara pakaian agar tidak mendedahkan aurat, kita memelihara mata agar tidak melihat perkara yang diharamkan, memelihara telinga dari mendengar perkara yang tidak mendatangkan manfaat, memelihara makanan, minuman sewaktu berbuka dan bersahur agar tidak datang dari tangan-tangan yang fasiq dan tidak melakukan pembaziran. Awasilah apa yang akan disuap ke mulut, kerana ia akan menjadi darah daging, peliharakan ia agar hati tidak menjadi keras dan akhirnya menghilangkan kelazatan ibadah.

Negara kita sedang berhadapan dengan kemelut kegawatan sosial yang sangat serius, dengan kadar anak luar nikah mencecah 300,000 setahun, penagih dadah baru setiap setengah jam seorang, kadar bunuh diri antara 7-8 orang sehari, kematian AIDS 6-7 orang sehari, masalah rasuah yang menakutkan, kadar jenayah yang makin meningkat serta wujudnya kelompok yang mula mempertikaikan persoalan asas Islam dalam masyarakat, semuanya menuntut agar kita tampil membawa negara kepada satu dimensi baru dalam sistem politik negara. Kita perlu kembali kepada sistem Islam yang syumul bagi melahirkan pimpinan yang berwibawa, yang menjalankan pemerintahan negara mengikut dasar yang digariskan oleh Allah. Sabda Rasulullah “ Manusia akan mengikuti corak hidup pemimpin mereka”. Lantaran itu, marilah kita jadikan bulan Ramadan ini sebagai jalan bagi mendekati keindahan sistem pemerintahan yang indah ini.

Ramadhan mendidik kita agar menjauhi maksiat kepada Allah samada melalui pancaindera atau pemikiran kita. Dalam kegawatan berhadapan dengan wabak H1N1, yang membimbangkan. Rasulullah s.a.w menegaskan “Bilamana zina dan riba’ berleluasa dalam masyarakat, maka mereka mendedahkan diri mereka kepada azab Allah”. Maka dikesempatan ini saya menyeru agar kita memelihara aspek lahiriyah dalam bentuk pencegahan merebaknya wabak ini, dan dari sudut batiniyahnya menjaga diri dari melakukan dosa dan maksiat kepada Allah.

Sekian, Selamat Melaksanakan Ibadah Ramadhan.

Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man Naib Presiden PAS merangkap
Pesuruhjaya PAS Pahang.

Saturday, August 29, 2009

Tiada Manusia Layak Mengampunkan Kartika

"Ketika TGNA mengatakan penyokong UMNO tidak layak masuk syurga, maka gegak gempita seluruh negara mengulas dan menghentam TGNA. Semua pihak yang ingin mengambil kesempatan tanpa segan silu menyerang TGNA dengan hujah hanya Allah s.w.t yang layak menentukan siapa yang masuk neraka dan siapa yang masuk syurga.

Malah Tun Mahathir yang nyanyukpun berani mengulas mengatakan sesiapa yang hendak masuk syurga boleh tanya TGNA.

Anak murid Mahathir, Harussani pun dengan tegas dan bercakap dengan keluar urat leher berhujah dengan ayat quran, hanya Allah yang layak menentukan ahli syurga dan neraka.

Majlis fatwa pun muncul sama, imam imam Jakim, ulamak terompah dan para pengampu berlumba lumba ingin membela pemimpin UMNO. Padahal sifir mudah telah Rasulullah tinggalkan kepada semua umat Islam. Barang siapa yang ingkar kepada Allah maka tempatnya adalah neraka. Barang siapa yang menyokong kezaliman haram baginya syurga. Barang siapa yang menggalakkan maksiat akan dibakar dengan api yang menyala nyala. Para alim yang membisu dan tidak menegakkan kebenaran maka akan dihumban ke neraka yang paling dalam.

Apakah semua pengampu pengampu tidak pernah mendapat rumusan di atas di dalam quran dan hadis?

Paling aneh pula sebaliknya berlaku ke atas kes Kartika yang dihukum sebat kerana kesalahan meminum arak. Berlumba lumba pulak para pengampu yang menyokong pesalah. Ramai yanng merayu supaya dikaji semula. Ramai yang minta supaya hukuman sebat dibatalkan. Jika diteliti peribadi orang orang yang ingin hukuman sebat dikaji, ternyata dia sendiri dah serasi sangat dengan minuman syaitan tersebut. Ada yang anak saudara menjadi saudagar arak. Jadi CEO syarikat arak.

Dan seperti biasa juga timbullah ulamak terompah pengampu mengulas, hukuman tersebut tidak menepati kehendak Islam sebab hanya enam sebatan. Hukum Islam kenalah sebat lapan puluh rotan. Habis, denda lima ribu tu menepati islam ke? penjara menepati kehendak islam ke? Atau membiarkan orang Islam minum arak dengan bebasnya lebih menepati kehendak Islam?

Kenapa dalam isu ini tiada sesiapa yang berhujah, hanya tuhan yang layak mengampunkan kartika? Kenapa harussani tidak bergegas di depan media mengatakan kita semua tidak layak menentukan pengampunan Kartika? Kenapa Harussani tidak membaca ayat ayat dan hadis sebanyak banyaknya dalam sidang media? Kenapa tidak dijelaskan sejelas jelasnya hukum terhadap orang Islam yang minum arak? Kenapa tidak mengulas di television sepertimana ketika dia berada di Mesir? Padahal dalam isu 'tidak layak masuk syurga', Harussani sedang berpropaganda di depan pelajar mesir, masih sanggup mengulas di tv malaysia, menghentam TGNA.

Begitulah sebenarnya akan berlaku kepada orang alim bila berada dalam gelumang najis UMNO. Kita sendiri sudah dapat meneka bila masa dia akan berhujah dan bila masa dia akan membisu. Segala hukum hakam hanya menjadi mata pencarian mereka, untuk mengisi perut mereka yang lapar.


Sumber:tranungkite

Thursday, August 27, 2009

ISU HUKUMAN SEBAT KE ATAS ORANG ISLAM YANG MINUM ARAK


Oleh Presiden PAS





Isu hukuman sebat kepada pesalah minum arak telah menarik perhatian pelbagai pihak untuk memberikan pandangan dan komen masing-masing. Hukuman yang dirujuk sebagai pelaksanaan hukum Islam di bawah Seksyen 136 Enakmen Pentadbiran Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4 enakmen sama (Pindaan) 1987 sebenarnya masih tidak mengikut prinsip syarat hukum Islam yang sebenar. Di bawah hukum Islam, kesalahan meminum arak adalah diletakkan di bawah hukum hudud, iaitu satu hukum yang dinaskan mengikut Al-Quran dan Hadis Rasulullah s.a.w. Apabila asasnya adalah nas, maka ianya adalah aspek agama Islam yang wajib untuk dilaksanakan kepada penganutnya – kerana ianya berkait dengan tanggungjawab antara manusia dengan Tuhan, antara dosa pahala serta pembalasan di hari akhirat.

Jika bersandarkan kepada nas, maka hukuman ke atas peminum arak untuk penganut Islam setelah sabit kesalahan ialah sebatan antara 40 – 80 rotan jumlahnya. Apa yang paling penting untuk difahami ialah cara sebatan yang dilaksanakan di dalam penjara sekarang adalah sangat berbeza dengan kaedah sebenar hukum Islam, kerana mengikut Islam sebatan ini perlu mengambil kira keadaan dan kesihatan pesalah, selain dari memastikan pesalah dalam keadaan sepenuhnya berpakaian menutup aurat. Alat sebatan dan kaedah merotan hendaklah juga sederhana, antaranya bila sebatan dilaksanakan tangan tidak boleh diangkat sehingga menampakkan ketiak. Sebatan juga tidak boleh sampai mencederakan, dan sebatan dilakukan di beberapa tempat pada badan dan bukannya pada satu tempat sahaja.

Dalam Islam, hukuman ini bukan bersifat untuk menyeksa tetapi bersifat mendidik pelaku kesalahan serta mendidik masyarakat awam supaya gerun untuk melakukan perbuatan itu lagi. Aspek pencegahan inilah yang perlu ada dalam melaksanakan hukuman dalam undang-undang Islam. Ianya memerlukan pindaan supaya proses undang-undang Islam yang adil dapat dilaksanakan. Oleh yang demikian, kita meminta supaya pihak berkuasa tidak gopoh dalam pelaksanaan itu sehingga memberi gambaran salah mengikut syariat Islam. Dalam masa yang sama kita berharap supaya wanita yang disabitkan itu bertaubat kerana Allah Maha Pengampun dan Penyayang.

Apa yang seharusnya berlaku ialah arak haruslah di haramkan penjualannya secara menyeluruh terlebih dahulu kepada semua orang Islam. Masyarakat dan kerajaan juga perlu dididik supaya faham bahawa arak adalah haram di sisi agama Islam. Haramnya arak adalah tidak mengira tempat – samada restoran kecil atau besar, atau hatta di dalam rumah sendiri.

Menjalankan hukuman terhadap peminum arak tanpa menghapuskan puncanya – adalah seumpama menghadapi nyamuk aedes dengan menamparnya sahaja, tetapi longkang-longkang dibiarkan berselerak sehingga menjadi tempat pembiakan nyamuk yang membawa denggi !


Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
Presiden PAS


Sumber:tranungkite

Wednesday, August 26, 2009

Istimewa Saat Ramadhan


Setiap orang yang mengaku beriman dengan kebesaran Allah pasti akan bergembira apabila tiba bulan Ramadhan Al Mubarak di setiap tahun (Anda bagaimana?). Asbabnya Ramadhan satu-satunya bulan yang penuh dengan rahmat dan keberkatan yang tidak terdapat di dalam bulan-bulan yang lain, oleh sebab itu Rasulullah s.a.w. menjelaskan Ramadhan adalah penghulu kepada sebelas bulan yang lain. Hanya orang yang kenal kelebihan Ramadhan sahaja yang akan bersedia bila menjelangnya bulan yang mulia ini.
Dapatkan Mesej Bergambar di Sini

Betapa besarnya fadilat bulan Ramadhan ini dapat kita fahami dari hadis Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim yang bererti:

Apabila masuk bulan Ramadhan maka dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup pintu-pintu neraka serta diikat semua iblis dan syaitan. Oleh kerana itu apabila seorang melangkah masuk ke bulan Ramadhan bererti mereka memasuki gerbang pertapaan yang penuh dengan ujian dan latihan. Kerana itu sudah sewajarnyalah kita membuat persiapan yang perlu dari segi rohani dan jasmani iaitu.

1. Mengulangi kembali pelajaran-pelajaran yang berkaitan dengan puasa agar kita memasuki dan menjalani amalan puasa ini dengan pengetahuan dan yang dibaharui dengan pedoman-pedoman yang baik serta pengalaman-pengalaman yang baru dan sempurna. Pelajaran-pelajaran itu hendaklah yang berhubung dengan rukun, syarat sah, syarat membatalkan puasa, perkara-perkara sunat, makruh, abad berpuasa dan hikmat yang terkandung serta perlaksanaan ibadat puasa yang merupakan ibadat yang istimewa ini.

2. Membuat persiapan dari segi Rohani rasa hati dan ketenangan jiwa dalam menghadapi bulan puasa sebagaimana yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. dan para sahabat baginda.

3. Memperbanyakkan doa moga-moga Allah memberikan kesihatan, tenaga, kelapangan dan kesempatan mengerjakan puasa dan mudah-mudahan Allah memberikan taufik dan hidayahNya supaya kita dapat menunaikan puasa dengan hati yang jujur, tulus ikhlas dijauhi dari riak, ujub dan dari segala rupa penyakit yang menghilangkan pahala puasa.

4. Menguatkan semangat dan hemat untuk melaksanakan latihan yang akan kita jalani sepanjang bulan ini dengan sempurna agar kita memperolehi kesan yang dimaksudkan iaitu peningkatan ketaqwaan kita kepada Allah s.w.t. Bulan puasa itu merupakan bulan latihan berjihad memerangi hawa nafsu yang loba dan tamak.

Bulan puasa adalah bulan bercucuk tanam untuk akhirat, bulan menghasilkan bekalan untuk hari kemudian, bulan membersihkan dan menyuci diri dari berbagai dosa dan noda serta menghiasi diri dengan budi yang tinggi dan pekerti yang luhur. Maka oleh itu hendaklah kita menyediakan diri kita dalam melaksanakan hak puasa dengan perkataan-perkataan dan perbuatan-perbuatan yang baik dengan sepenuh hati, jujur dan ikhlas semata-mata kerana Allah. Kita hendaklah berusaha menyediakan diri untuk menjaga benih-benih amal yang kita tanam di bulan Ramadhan itu kerana seorang yang menanam benih jika tidak membaja, menyiram serta memelihara pasti tidak akan mengeluarkan hasil yang baik apabila datang masa menuai tegasnya semasa berhadapan dengan Allah s.w.t.

Kita hendaklah mengelakkan daripada kebiasan-kebiasan yang memberatkan dan merugikan diri kita seperti berbelanja berlebihan, boros, suka berhibur, membuang masa dan bersembang yang tidak mendatangkan faedah kerana perkara-perkara tersebut adalah bertentangan dengan hikmat berpuasa. Sebaliknya hendaklah kita menyambut bulan puasa dengna cita-cita dan azam yang tinggi membanyakkan ibadah samada siang atau malam hari dengan kemahuan hendak melatih diri serta mensucikan jiwa. Kita hendaklah mengucapkan tahniah di atas kedatangan bulan Ramadhan itu kerana ianya merupakan hak muslim ke atas muslim.

Rasulullah S.A.W. pernah bersabda yang bermaksud: Daripada hak seorang muslim kepada muslim yang lain ialah apabila mereka menerima kebaikan hendaklah kita mengucapkan tahniah.

Rasulullah s.a.w. sentiasa menggembirakan para sahabat di atas kedatangan bulan Ramadhan, bulan yang membawa rahmat serta nikmat yang tidak terhingga kepada mereka yang berpuasa, bulan melebur dosa dan memerdekan hambanya dari azab api neraka. (Riwayat Nasaie dan Ahmad daripada Abu Hurairah)

Rasulullah s.a.w. menggembirakan para sahabatnya dengan sabda baginda: Ertinya: Sesungguhnya akan datang kepada kamu bulan Ramadhan bulan yang diberkati, Allah mewajibkan kamu berpuasa di dalamnya. Pada bulan Ramadhan dibuka pintu-pintu syurga, dikunci semua pintu neraka, dibelenggu semua syaitan. Di malamnya ada satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Barangsiapa yang tidak memperolehi kebajikan pada malam itu berertilah diharamkan baginya segala kebaikan untuk dirinya.

Rasulullah s.a.w. juga mengucapkan kepada para Sahabat ucapan yang bermaksud: Telah datang kepada kamu bulan Ramadhan Penghulu segala bulan , maka selamat datanglah kamu kepadaNya. Maka telah datang bulan puasa membawa segala macam keberkatan. Oleh yang demikian muliakan tetamu yang datang itu dengan seberapa baik.

Daripada hadis-hadis di atas dapatlah kita membuat kesimpulan:-

Bahawasanya bulan Ramadhan adalah bulan istimewa bulan yang penuh dengan keberkatan dan rahmat dari Allah s.w.t. Sewajarnyalah setiap muslim mengambil kesempatan daripada ketibaan bulan Ramadhan Al Mubarak ini dengan memperbanyakkan amal-amal soleh samada disiang hari atau dimalamnya. Bulan Ramadhan adalah bulan pendidikan dan latihan maka setiap orang yang menerima kedatangan bulan Ramadhan ini hendaklah membuat persiapan yang sekucupnya samada dari segi jiwa, fizikal dan spiritual.Anggaplah Ramadhan sebagai bulan saringan pelepasan ke padang Masyar!

Sumber:iluvislam

Tuesday, August 25, 2009

Me-MAKSiMUM-kan Bonus Ramadhan



Dapatkan Mesej Bergambar di Sini


Bagi meraikan Ramadhan yang mulia, ada baiknya saya mengulas ringkas berkenaan Ramadhan. Bulan ini bolehlah dianggap sebagai bulan ‘bonus' dari Allah SWT sebagai rahmat bagi hamba-hambaNya. Gandaan pahala di bulan dan ketika puasa adalah amat hebat. Ia berdasarkan hadith Qudsi yang menyebut : "Setiap amalan anak Adam adalah digandakan pahalanya kepada sepuluh hingga 700 kali ganda, maka berkata Allah SWT : Kecuali puasa, sesungguhnya ia adalah khas untukKu dan Akulah yang akan membalas kebaikannya, mereka meninggalkan makanan, minuman dan syahwat mereka (di siang hari) hanya keranaKu" (Riwayat Al-Bukhari & Muslim) . Ramadhan Kareem

Bonus & Belanjawan
Cuba kita renungkan kembali, kerap kali kita akan merasa gembira apabila tiba hujung tahun bagi mendapat bonus dari majikan kita (kecuali bagi kakitangan awam pada tahun ini).

Mengapa kita gembira bila mendapat bonus, gaji dan insentif?

Sudah tentu jawabnya kerana ; "dapat duit " .

Mengapa kita seronok mendapat duit ?

Jawabnya ; kerana boleh membeli itu dan ini, bergaya dan lain-lain.

Lalu berapa lamakah keseronokan barang dan perkara yang dibeli tadi ?

Sudah tentu jawabnya, bergantung kepada apa yang dibeli, ada yang rosak cepat dan ada yang lambat.

Jika demikian, jika barang itu lambat rosak, berapa lamakah keseronokan itu akan berterusan?

Jawabnya, paling panjang adalah sekadar kita masih hidup sahaja.

Baiklah, selepas kematian adakah masih ada seronok? Jika tidak, maka apakah yang boleh menyeronokkan kita selepas mati ?

Jawabnya ; tidak lain tidak bukan adalah pahala dan amalan yang dikumpul. Jika banyak dan berkualiti, semua matawang pahala itu akan memberi seribu satu macam keseornokan berpanjangan sehingga satu tarikh yang hanya diketahui Allah s.w.t dan ia pastinya amat panjang.

Jika demikian, mengapa tidak tercetus perasaan seronok menerima kehadiran Ramadhan sebagaimana seronoknya kita menerima bonus duit? Sedangkan ramadhan adalah bulan bonus untuk meraih pahala sebanyaknya, bulan dipermudahkan peluang untuk ke syurga Allah s.w.t.

Tapi bezanya, ramai yang kelihatan lebih seronok kerana di permudahkan untuk meraih rumah kediaman di dunia dan dapat 'save' lebih banyak duit. Ini kerana belanjawan baru-baru ini akan mewujudkan lebih banyak rumah kos rendah, kos 'stamp duty' bagi rumah RM 250,000 ke bawah dikurangkan 50 %, boleh menggunakan wang akaun kedua dari KWSP untuk pembayaran rumah, yuran sekolah dan peperiksaan anak ditiadakan, buku teks percuma dan lain-lain. Semua ini disambut dengan gembira kerana memberi ruang untuk mengumpul duit dan digunakan untuk perkara lain.

Keseronokan jiwa yang hadir kerana dipermudahkan cara untuk memiliki rumah dalam belanjawan baru-baru ini lebih didapat dilihat dan dihayati oleh ramai daripada keseronokan untuk memasuki bulan yang dipermudahkan jalan pemilikan rumah syurga di akhirat yang kekal abadi.

Mengapa ini boleh berlaku kepada hati kita?. Apakah silapnya? Mengapa dan mengapa?. Pernahkah kita memikirkan mengapa gembira berpeluang dapat harta akhirat sebagaimana kita gembira mendapat harta dunia.

"Ya Allah, bantulah kami yang telah menzalimi diri kami, tiada tuhan melainkanMu dan engkaulah yang maha pengampun"

Tawaran Luar Biasa
Justeru, niat yang ikhlas dan benar ketika melaksanakan kewajiban Ramadhan adalah kunci kepada ‘bonus' yang ditawarkan oleh Allah. Bermakna, barangsiapa yang berpuasa Ramadhan bukan kerana Allah tetapi disebabkan oleh rasa malu kepada rakan-rakan, atau ter'paksa' menuruti suasana atau hanya ingin menunjuk-menunjuk dan lain-lain sebab keduniaan, tiadalah orang seperti ini layak mendapatkan ‘bonus' dan tawaran istimewa ‘pahala luar biasa' yang ditawarkan oleh Allah.

Selain itu, pahala ‘bonus' ini juga boleh tergugat dengan amalan-amalan keji bercakap buruk seperti maki, mencarut, mengeji orang, mengumpat, memfitnah dan apa-apa yang berkaitan dengan dosa lidah dan anggota juga akan menipiskan lagi ganjaran pahala seseorang walaupun ia berniat benar ketika berpuasa. Ini ditegaskan oleh Nabi SAW dalam sebuah hadith ertinya

"Barangsiapa yang tidak meninggalkan perkataan buruk dan perbuatannya tatkala puasa, maka tiada hajat Allah baginya (kerana pahala akan terhapus) walaupun meninggalkan makanan dan minumannya" (Riwayat Al-Bukhari, 4/1903 - Fath al-Bari).

Beberapa ulama seperti Abu Gharib Al-Asfahani, Syeikh Dr Yusof Al-Qaradawi, Prof. Dr Muhd Uqlah Ibrahim (Ulama Fiqh di Jordan) serta lain-lainnya berpandangan bahawa di samping pahala yang berganda. Dosa juga boleh berganda di bulan mulia ini. Beliau ada mengutarakan beberapa dalil, bagaimanapun sukar untuk saya muatkan di ruangan terhad ini. Sebagai jalan terbaik, jauhilah dosa sejauh-jauhnya di bulan ini kerana masih terdapat kemungkinan dosa dipergandakan.



Syaitan Kena Gari ?
Umat Islam perlu lebih fokus untuk mencapai kebaikan di bulan ini. Nabi SAW telah memberikan menyebut juga bahawa pintu syurga dibuka, ditutup pintu neraka serta dibelenggu para syaitan (Riwayat Al-Bukhari, 1/18 ; Muslim, 1/41) ; malah terdapat ulama yang mengatakan bahawa bulan ia dinamakan ‘Ramadhan' (yang bermaksud panas) oleh Allah SWT kerana bulan ini adalah bulan menghanguskan dosa. (Mughni, Ibn Quddamah, 4/116).

Ada pula yang bertanya berkenaan erti Syaitan di belenggu dalam hadith di atas. Sebahagian ulama berpandangan bahawa ia membawa maksud ketidakmampuan Syaitan menguasai orang yang berpuasa sebagaimana penguasaannya di luar bulan ramadhan. ( Al-Muntaqa Min At-Targhib Wa at-Tarhib, Al-Munziri dan Al-Qaradawi, 1/313 )

Ada juga yang menyebut sebahagian jenis Syaitan yang utama sahaja di belenggu, manakala yang lain masih bebas lalu kerana itu masih terdapat yang membuat maksiat di bulan ini. Walaubagaimanapun, sebenarnya ia adalah akibat dorongan nafsu jahat yang telah lama terdidik dan terbiasa dengan ajakan Syaitan. Kebiasaan buruk ini mampu mendorong seseorang kearah kejahatan walau di ketika Syaitan utama di belenggu. (Min Ahsanil Kalam Fil Fatawa, Syeikh Atiyyah Saqar, 2/13).

Maksimakan Perolehan Untung Ramadhan
Bagi memastikan kesohihan puasa serta mampu memaksimakan pahala dan keuntungan dari Ramadhan, amalan yang berdasarkan nas yang kuat berikut perlu dilakukan:-

1) Berniat dalam hati untuk berpuasa di malam hari.

2) Besahur di akhir malam (yang terbaik adalah jaraknya dengan azan subuh selama bacaan 50 ayat al-Quran secara sederhana).

Nabi SAW bersabda :

" Perbezaan di antara puasa kami (umat Islam) dan puasa ahli kitab adalah makan sahur" (Muslim, 2/770).

Selain itu, Nabi juga bersabda :

"Bersahurlah kamu, kerana pada sahur itu ada barakahnya" ( Al-Bukhari, 4/1923 ; Muslim).

Baginda SAW juga menyebutkan bahawa Malaikat sentiasa meminta ampun bagi orang yang bersahur. (Riwayat Ahmad, 3/12 ; Hadith Hasan).

Selain makan tatkala itu adalah amat digalakkan kita untuk mendirikan solat sunat tahajjud, witr dan beristifghar dan lain-lain amalan sebelum menunaikan solat subuh berjemaah(bagi lelaki).

Adalah amat tidak digalakkan bagi seseorang yang bersahur dengan hanya makan di sekitar jam 12 malam sebelum tidur. Kebanyakan individu yang melakukan amalan ini sebenarnya amat merasa berat dan malas untuk bangun di tengah malam. Ia pada hakikatnya adalah tidak menepati sunnah yang diajarkan oleh Baginda SAW.



3) Memperbanyakkan bacaan Al-Quran dengan tenang dan tidak tergesa-gesa.
Terdapat ramai ulama silam menyebut tentang kepentingan mendahulukan membaca al-quran di atas amalan sunat seperti menelaah kitab, membaca hadith dan lain-lain. Ia adalah salah satu amalan yang paling diambil berat oleh Nabi SAW ketika baginda membacanya bersama Malaikat Jibrail as. Hal ini disebut di dalam hadith al-Bukhari.

4) Memperbanyakkan doa semasa berpuasa.
Sepanjang waktu kita sedang menjalani ibadah puasa, ia adalah sentiasa merupakan waktu yang sesuai dan maqbul untuk kita berdoa, sebagaiaman di tegaskan oleh Nabi S.a.w :-

ثلاثة حق على الله أن لا يرد لهم دعوة : الصائم حتى يفطر والمظلوم حتى ينتصر والمسافر حتى يرجع

Ertinya : Tiga yang menjadi hak Allah untuk tidak menolak doa mereka, orang berpuasa sehingga bebruka, orang yang dizalimi sehingga dibantu, dan orang bermusafir sehinggalah ia pulang" (Riwayat Al-Bazaar,

Sebuah hadis lain yang hampir sama maksudnya menyebutkan :-

ثلاثة لا ترد دعوتهم : الصائم حتى يفطر والإمام العادل ودعوة المظلوم


Ertinya : Tiga yang tidak ditolak doa mereka, orang berpuasa sehingga berbuka, pemerintah yang adil dan doa orang yang dizalimi" ( Riwayat At-Tirmizi, Ibn Majah, Ibn Hibban dan Ibn Khuzaimah ; Hadis Hasan menurut Imam At-Tirmidzi dan Ibn Hajar, sohih menurut Syeikh Ahmad Syakir)

5) Memperbanykan doa ketika hampir berbuka
Ini kerana tahap maqbul tatkala itu semakin hebat berdasarkan hadith Nabi s.a.w :

إن للصائم عند فطره لدعوة ما ترد

Ertinya : Sesungguhnya bagi orang yang berpuasa itu tatkala wkatu berbukanya,adalah waktu doa yang tidak ditolak ( Riwayat Ibn Majah ; Sohih)


6) Menyegerakan berbuka puasa selepas kepastian masuk waktu maghrib.
Berdasarkan hadith Nabi SAW :

لا يزال الناس بخير ما عجلوا الفطر


Ertinya : "Sentiasalah umatku berada dalam kebaikan sepannjang kamu menyegerakan berbuka" ( Riwayat Al-Bukhari, 4/1957).

Berbuka juga perlu didahulukan sebelum menunaikan solat maghrib, malah jika pada hari tersebut tahap kelaparan kita agak luar biasa, lebih baik kita berbuka dan makan sekadar kelaparan tidak mengganggu solat Magrhib kita. Disebutkan bahawa tidaklah Nabi SAW menunaikan solat Maghrib kecuali setelah berbuka walaupun hanya dengan segelas air. (Abu Ya'la dan al-Bazzar : hadith Hasan).

7) Adalah digalakkan pula untuk berbuka dengan beberapa biji rutab ( kurma basah) atau tamar (kurma kering) sebagai mengikuti sunnah, dan jika tiada keduanya mulakan dengan meneguk airأ

Ertinya : Rasulullah s.a.w berbuka dengan kurma basah (rutab) sebelum solat dan sekiranya tiada rotab, maka tamar dan jika tiada, baginda meminum beberapa teguk air" ( Riwayat Abu Daud, Ahmad & At-Tirmidzi) (Riwayat Abu Daud, 2/2356 : Hadith Hasan).

Sambil membaca doa berbuka yang sohih dari nabi iaitu ذهب الظمأ وابتلت العروق وثبت الأجر إن شاء الله " Zahaba az-Zama u wabtallatil ‘uruq wathabatal ajru InsyaAllah"

Ertinya : "Telah hilanglah dahaga, telah basah ular leher dan telah tetap mendapat pahalanya InshaAllah " Riwayat Abu Daud, 2/2357 : Hadith Hasan menurut Albani).

Atau doa-doa makan yang biasa.

9) Amat disunatkan untuk menyedeqahkan harta bagi mempersiapkan juadah berbuka untuk orang ramai terutamanya orang miskin.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud:
Barangsiapa yang memberikan juadah berbuka buat orang yang berpuasa maka baginya pahala seperti orang yang berpuasa itu tanpa kurang sedikit pun" ( Riwayat At-Tirmidzi, 3/807; Hadith Hasan menurut Imam At-Tirmidzi).

Disebut dalam sebuah hadis lain

ومن أشبع صائما سقاه الله من حوضي شربة لا يظمأ حتى يدخل الجنة


Ertinya : Barangsiapa yang mengenyangkan seorang yang berpuasa ( berbuka), Allah akan memberinya minum dari telagaku ini dengan satu minuman yang tidak akan haus sehinggalah ia memasuki syurga " (Riwayat Al-Baihaqi ; Ibn Khuzaymah dalam Sohihnya : rujuk juga Tuhaftul Ahwazi, )



10) Menunaikan solat sunat terawih pada malam hari secara berjemaah buat lelaki dan wanita atau boleh juga dilakukan secara bersendirian.
Ia berdasarkan hadith riwayat An-Nasaie yang sohih. Boleh juga untuk menunaikannya separuh di masjid dan separuh lagi di rumah, terutamanya bagi sesiapa yang ingin melengkapkan kepada 20 rakaat.

11) Memperbanyakkan bersiwak (iaitu menggunakan kayu sugi tanpa air dan ubat gigi).
Ia juga sohih dari Nabi SAW dari riwayat al-Bukhari.

12) Amaran bagi berbuka di siang ramadhan tanpa uzur
Nabi SAW bersabda dalam hadith sohih ancaman berat dengan digantung di dagunya dengan terbalik hingga darah mengalir bagi individu cuai. (lihat Al-Muntaqa min At-Tarhib wa targhib). Selain itu, Nabi juga menyebut bahawa :

"Barangsiapa yang berbuka tanpa uzur pada Ramadhan, maka ia tidak mampu mengantikan kerugian dari puasa yang ditinggalkan itu, walaupun ia berpuasa selama-lamanya" ( Riwayat Abu Daud, Ibn Majah)


Sumber: iluvislam

Cintakan Allah Sebagai Sumber Kekuatan



Bismillah...smile

Makanan roh itu ialah mengenal dan cinta kepada Allah. Jika cinta itu ditumpukan sepenuhnya kepada selain Allah, maka binasalah roh itu. Badan itu hanya ibarat binatang tunggangan bagi roh.

Badan itu akan hancur, tetapi roh tetap hidup. Roh sepatutnya menjaga dan mengawasi semua anggota badan. Pastikan setiap inci pergerakannya selari dengan kehendak Allah taala. Anggota tidak akan bertindak selagi kita (roh) tidak mengarahkannya.

Lebih sesuai untuk menterjemahkan roh sebagai hati kerana hatilah memainkan peranan yang terpenting dalam melahir dan menzahirkan seni praktikal.

Imam al-Ghazali menegaskan di dalam Ihya Ulumuddin bahawa hati itulah raja yang segala anggota taat dan patuh kepadanya.

Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan daripada Nukman ibn Basyir r.a. sabda Rasulullah s.a.w.,

“ Di dalam jasad itu ada seketul daging. Apabila baiknya ia, maka baiklah jasad itu. Apabila jahat, nescaya jahatlah seluruh jasad itu. Ianya adalah hati.”


Demikian itu, hendaklah kita bersungguh-sungguh membaikkan hati dan memelihara juga memuliharanya daripada segala bintik-bintik noda yang menghitamkan hati.

Keperluan badan manusia terbahagi kepada tiga sahaja iaitu makanan, pakaian dan tempat tinggal. Tetapi kemahuan badan yang ada pada seseorang untuk mendapatkan tiga perkara ini cenderung menyalahi akal dan melampaui batasan. Oleh itu, kemahuan ini perlulah disekat dan dibatasi dengan undang-undang syariat yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w..


Dapatkan Mesej Bergambar di Sini

Manusia pasti terpesona dan terpikat melihat warna-warni pelangi yang menghiasi dunia, tergodanya mereka dengan ‘syurga’ dunia yang menghancur dan membinasakan diri mereka akhirnya. Melainkan insan-insan bertuah yang diselamatkan Allah. Mereka berhati-hati supaya tidak tergoda. Pintalah keselamatan daripada Allah. Rayulah agar Dia memelihara kita daripada segala kejahatan, mungkin datang dari lubuk hati, atau nafsu, syaitan, juga syaitan manusia.

Usaha tidak terhenti di situ, kita mestilah berusaha memelihara hati dan diri daripada perbuatan haram yang akan mengotorkan hati dan langsung akan menjarakkan relisi kita dengan Tuhan.

Tuhanlah matlamat kita.

Ke manakah kita sehari-hari? Menuju ke mana?

Tidak lain tidak bukan kembali kepada Pencipta, Allah al-Khaliq. Manusia yang tidak menjadikan Allah sebagai matlamat kehidupannya akan menemui kegagalan dan kemuflisan dalam merencah rencah-rencah delima hidup ini.

Cinta kepada Allah merupakan sumber dan benteng kekuatan yang akan menghalang kita daripada terpedaya dengan dunia yang sementara ini. Untuk menguatkan agar cinta kita tidak tergugat, perlulah ia dibajai dengan sifat-sifat yang mulia, terutamanya sifat zuhud. Bagi membolehkan kita sampai ke matlamat yang sebenar demi kebahagian di dunia dan akhirat, perlulah kita memandang dunia ini dengan pandangan yang betul.

Kenapa perlu berzuhud dengan dunia?

Zuhud dalam ertikata melihat dunia ini tidak lebih dari kepentingan akhirat.
Mencari hasil dunia jangan sampai lagha kepada Tuhan.

Kekayaan tidak menghitamkan keimanan selagi kayanya kita ini semata-mata kerana Allah taala.
Namun sekiranya lar-lar harta itu membuatkan kita semakin leka akan hakikat diri, sesungguhnya kekayaan ini bakal menghancurkan pemiliknya seperti anai-anai menghancurkan kayu.

Firman Allah, “Kekayaan telah melalaikanmu,” ayat pertama dalam surah al-Takasur ini jelas larangan kekayaan yang menyebabkan kita lagha dan lalai kepada Allah.

Adapun kekayaan yang dipentaskan oleh keimanan kepada Allah pasti akan menghasilkan hasil yang lumayan untuk ummah. Insya-Allah!

Kenapa perlu berzuhud? Imam Ibnu Qayyim al-Jauzi r.h. menyimpulkan tipu daya dunia kepada penduduknya dengan pelbagai cara.

Antaranya:

PERTAMA

Ia berpura-pura kekal bersama kita.

Hakikatnya ia sentiasa berlalu saat demi saat sambil melambaikan tangan mengatakan, “ Selamat tinggal,” kepada kita.

Seperti bayang-bayang yang tampaknya tetap tetapi sebenarnya bergerak.

KEDUA

Dunia ini berpusing-pusing seperti ahli sihir yang menawan tetapi jahat.

Dia berpura-pura cinta kepada kita, kemudian dia kembali kepada musuh dan meninggalkan kita yang kesedihan dan berputus asa. Inilah wajah dunia.


Dapatkan Mesej Bergambar di Sini

Senjata seterusnya untuk membentengi iman dan menyuburkan cinta kita kepada Allah taala ialah tafakur. Merenung memikirkan ciptaan Allah. Ambil sejenak waktu, renunglah bahawa dahulunya dunia ini tidak wujud dan di masa akan datang ia akan sirna lenyap sama sekali!

Maka nampaklah betapa dunia ini berupa tipuan belaka. Tiada kalimah yang dapat diungkapkan untuk menjelaskan betapa ruginya mereka yang menganggap dunia ini tempat kediamannya yang tetap dan kekal.

Membuat rancangan untuk sepuluh tahun mendatang, sedangkan mungkin dia akan berada di dalam kubur dalam tempoh sepuluh hari sahaja lagi! Siapa tahu? Siapa yang membiarkan dirinya ditenggelamkan lautan keindahan dunia fana ini, dihempas ombak nafsu yang menggila, suatu saat nanti tangannya akan menyumbatkan makanan ke dalam mulutnya dan kemudian memuntahkan semula! Kelazatannya hilang sirna. Bagai helang yang hilang sayapnya.

Harta semakin betimbun rimbun. Jiwa semakin rimas mencecah usia tua. Sayangnya untuk meninggalkan kemewahan yang selama ini dikecapi. Semakin pedih dan sedihlah hendak meninggalkan semua itu.

Kelak tidak berharga serimis pun! Kepedihan meninggalkan dunia, di akhirat juga akan terasa pedihnya. Kebahagiaan saat meninggalkan dunia, di akhirat pun ada bahagia menanti. Insya-Allah.

Seseorang telah menasihati Ibrahim ibn Adham dengan mengemukakan beberapa nasihat iaitu:

SATU : Orang yang banyak bicaranya janganlah kamu harapkan sangat kesedaran hatinya.

DUA: Orang yang banyak makannya janganlah kamu harapkan sangat kata-kata hikmat daripadanya.

TIGA : Orang yang cinta kepada dunia janganlah kamu harapkan sangat husnul khatimahnya.

EMPAT:Orang yang melupakan hal kematiannya janganlah kamu harapkan sangat akan hidup hatinya.

LIMA : Orang yang memilih berkawan dengan orang yang zalim janganlah kamu harapkan sangat kelurusan agamanya.

ENAM : Orang yang mencari keredaan manusia janganlah kamu harapkan sangat akan keredaan Allah kepadanya.

Demikianlah nasihat gurunya kepadanya.

Janganlah teragak-agak lagi untuk menjernihkan hati. Baikilah hubungan kita dengan Allah. Usah dicemari lagi, semoga Dia menjaga hati juga jiwa juga roh kita kesemuanya. Amien.

Wallahu'alam.

(Rujukan: Al-Hub ila Allah karangan Imam Ibnu Qayyim al-Jauzi , Ihya Ulumuddin karangan Imam al-Ghazali, Penawar Bagi Hati karangan Syeikh Abdul Qadir Abdul Mutalib)

Sumber:iluvislam