Sunday, August 30, 2009

Perutusan Ramadhan Pesuruhjaya PAS Pahang


"Oleh Dato' Tuan Ibrahim bin Tuan Man











Ramadhan menjelma lagi, ia datang dengan membawa rahmat dan keberkatan, Maka marilah kita mensyukurinya dengan mentaati segala perintah Allah, memelihara puasa dan menghidupkan malamnya dengan pelbagai ibadah. Ramadhan bukan sahaja bulan puasa, tetapi ia juga bulan ibadah, bulan al-Qur’an, bulan silaturahim, bulan perjuangan menegakkan kebenaran dan keadilan, bulan memisahkan antara hak dan batil.

Sabda Rasulullah s.a.w “Sesiapa yang berpuasa ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan keredhaan Allah, maka Allah akan mengampuni segala dosanya yang terdahulu”. Riwayat Bukhari.Pada Ramadhan kali ini, saya menyeru agar kita memelihara ibadah puasa kita, bukan sekadar menjaga makan, minum dan perkara membatalkan pada lahiriyah sahaja, sebaliknya marilah kita memelihara pakaian agar tidak mendedahkan aurat, kita memelihara mata agar tidak melihat perkara yang diharamkan, memelihara telinga dari mendengar perkara yang tidak mendatangkan manfaat, memelihara makanan, minuman sewaktu berbuka dan bersahur agar tidak datang dari tangan-tangan yang fasiq dan tidak melakukan pembaziran. Awasilah apa yang akan disuap ke mulut, kerana ia akan menjadi darah daging, peliharakan ia agar hati tidak menjadi keras dan akhirnya menghilangkan kelazatan ibadah.

Negara kita sedang berhadapan dengan kemelut kegawatan sosial yang sangat serius, dengan kadar anak luar nikah mencecah 300,000 setahun, penagih dadah baru setiap setengah jam seorang, kadar bunuh diri antara 7-8 orang sehari, kematian AIDS 6-7 orang sehari, masalah rasuah yang menakutkan, kadar jenayah yang makin meningkat serta wujudnya kelompok yang mula mempertikaikan persoalan asas Islam dalam masyarakat, semuanya menuntut agar kita tampil membawa negara kepada satu dimensi baru dalam sistem politik negara. Kita perlu kembali kepada sistem Islam yang syumul bagi melahirkan pimpinan yang berwibawa, yang menjalankan pemerintahan negara mengikut dasar yang digariskan oleh Allah. Sabda Rasulullah “ Manusia akan mengikuti corak hidup pemimpin mereka”. Lantaran itu, marilah kita jadikan bulan Ramadan ini sebagai jalan bagi mendekati keindahan sistem pemerintahan yang indah ini.

Ramadhan mendidik kita agar menjauhi maksiat kepada Allah samada melalui pancaindera atau pemikiran kita. Dalam kegawatan berhadapan dengan wabak H1N1, yang membimbangkan. Rasulullah s.a.w menegaskan “Bilamana zina dan riba’ berleluasa dalam masyarakat, maka mereka mendedahkan diri mereka kepada azab Allah”. Maka dikesempatan ini saya menyeru agar kita memelihara aspek lahiriyah dalam bentuk pencegahan merebaknya wabak ini, dan dari sudut batiniyahnya menjaga diri dari melakukan dosa dan maksiat kepada Allah.

Sekian, Selamat Melaksanakan Ibadah Ramadhan.

Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man Naib Presiden PAS merangkap
Pesuruhjaya PAS Pahang.

No comments:

Post a Comment