“Puasa ertinya menahan. Bulan puasa ialah bulan menahan. Apa yang kita tahan?” Tanya sahabat saya.
Saya kira dia hanya ingin memeriahkan perbincangan. Kedudukannya sebagai ustaz tentunya sudah arif tentang segala puasa dan selok-beloknya.
“Menahan nafsu. Nafsu yang menjadi punca kejahatan dalam diri,” jawab saya ringkas.
“Nafsu tidak boleh dihapuskan. Tetapi perlu dikawal. Dan syarat pertama untuk kita dapat mengawal sesuatu ialah kita mesti mampu menahannya terlebih dahulu.”
“Bila kita mampu mengawal nafsu, barulah kita mampu mengawal diri.”
“Mengawal nafsu seperti mengawal kereta, kita mesti ada brek. Dengan brek kita boleh berhenti. Tapi bila brek sudah rosak atau haus, maka kereta akan meluncur hingga terbabas.”
“Benarkan puasa kita selama ini sudah berfungsi sebagai brek pada nafsu kita? Benarkan puasa kita sudah menahan? Atau sekadar mengempang? tanya saya.
“Maksud awak?”
“Siang kita mengempang nafsu makan, bila berbuka kita lepaskan semahu-mahunya. Jika demikian, puasa kita bukan melemahkan kejahatan nafsu, malah melatihnya agar lebih kuat hingga menjadi jana kuasa,” jelas saya.
“Betul tu, selalunya apabila bulan puasa, makanan yang disediakan untuk berbuka jauh lebih enak, lebih banyak berbanding bulan-bulan yang lain. Itu mengempang nafsu, bukan menahannya!”
“Belanja dapur bertambah daripada biasa. Nafsu tidak terdidik. Hati pula menjadi resah. Fizikal lembap. Tujuan puasa tidak kesampaian. Rugi dunia, rugi akhirat.”
“Jadi mulakan langkah meningkatkan puasa dengan biasa-biasa sahaja sewaktu berbuka. Percayalah, bila lapar, kita lebih berselera. Hanya nafsu sahaja yang merasuk bukan-bukan. Nak itu, nak ini.”
Utamakan “Jangan”
Dalam pergaulan kita dituntut supaya lebih utamakan “jangan”daripada “suruh”. Misalnya: Jangan mengumpat lebih utama daripada memberi nasihat. Ertinya, jika kita tidak mampu memberi nasihat kepada seseorang tidak mengapa, tetapi yang lebih utama jangan mengumpatnya. Jika tidak dapat membantunya, tidak mengapa asalkan jangan menyusahkan. Tak mengapa jika tidak dapat memberi asalkan jangan mencuri. Begitu saya dengar melalui pengajian tafsir Al-Quran tentang pergaulan dalam Islam bulan lalu.
“Saya rasa dalam puasa pun begitu juga,” luah saya kepada sahabat sepengajian.
“Maksudnya, jangan buat lebih utama daripada suruh buat?”
“Saya rasa begitu. Tapi nanti kita tanyalah kepada yang lebih arif. Tetapi dalam Ihya’ Ulumuddin jelas dinyatakan, meninggalkan mengumpat pada siang hari lebih utama daripada solat sunat pada malam hari atau qiamullail."
“Dan itu sinonim dengan sebuah hadis yang menjelaskan betapa seorang wanita dikatakan ahli neraka, walaupun banyak solatnya pada malam hari dan banyak puasanya pada siang hari kerana lidahnya selalu menyakiti hati jirannya,” tambah sahabat saya.
“Hairan, walaupun pada bulan puasa begitu ramai orang yang solat tarawih dan membaca Al-Quran, tetapi persaudaraan dan perpaduan di kalangan kita tidak bertambah kukuh,” balas saya seolah-olah menukar hala perbincangan.
“Apa kaitannya antara tarawih dengan perpaduan, baca Al-Quran dengan persaudaraan?” tanya sahabat saya. Dia faham perubahan saya. Sudah lama kami bersahabat. Dia selalu melihat saya mengubah “rencah” tanpa mengubah kuah.
“Bersolat, membaca Al-Quran itu meningkatkan iman. Apabila iman meningkat, ukhuwah secara automatik akan meningkat. Iman dan ukhuwah terhubung secara berkadar terus. Jika ukhuwah bermasalah itu petanda iman juga bermasalah.”
“Kenapa agaknya? Solat tarawih dan baca Al-Quran pada bulan puasa tidak meningkatkan iman dan persaudaraan?”
“Sebab kita terlupa perkara “jangan”. Banyak perkara “jangan” yang kita buat walaupun pada masa yang sama banyak perkara “suruh” yang kita laksanakan.”
“Maksudnya?”
“Banyak baca al-Quran tetapi mengumpat kita buat juga. Banyak solat, tetapi hasad dengki terus dilayan. Banyak yang sunat-sunat kita buat, tetapi pemarah, prasangka, malas terus kita ikutkan.”
“Jadi kau rasa elok sahaja kita tinggalkan ‘jangan’ walaupun tidak buat apa yang disuruh?”
“Jangan pula begitu… kita bercakap tentang usaha meningkatkan puasa. Ya, cuba kita tingkatkan puasa tahun ini dengan meninggalkan perkara ‘jangan’ di samping membuat perkara ‘suruh’!”
Bergaduh Pasal Moreh
Percaya atau tidak, ada ahli jemaah masjid yang berkrisis kerana berebut giliran buat kenduri moreh.
“Tak patut, dia ambil malam jumaat. Sedangkan saya dah booking dulu. Ah, mentang-mentanglah dia ada pangkat, ada duit, giliran saya dikebasnya. Entah-entah AJK masjid pun dah bersubahat sama.”
“Tenanglah Pak Haji, niat dan usaha Pak Haji telah dinilai oleh Allah. Memberi makan orang berbuka puasa ini sangat besar nilaiannya di sisi Allah.”
“Sebab tu saya nak malam Jumaat. Lebih berkat. Malah lebih ramai ahli qariah kita yang dating. Ni saya dapat malam Selasa, orang kurang. Kalau dapat malam minggu, kira OK juga.”
“Sabar la Pak Haji. Kami semua faham hasrat Pak Haji tu. Lagipun belum tentu malam Selasa tu tak ramai orang. Kadang-kadang mengejut sahaja musafir dan pekerja-pekerja asing dating berbuka di masjid kita ni.”
“Saya tak mahu musafir. Saya tak hendak pekerja-pekerja Bangla, Pakistan yang ramai…Saya nak orang tempatan makan kenduri saya.”
“Eh Pak Haji, yang paling utama kita berikan makanan bukankah orang yang lebih memerlukan? Musafir tu orang yang penat. Berhenti rehat dan solat. Kekadang kurang belanja atau tak sempat beli makanan, eloklah dia makan kenduri kita. Pekerja asing tu, kekadang lebih susah dan melarat. Bagus kalau kita menolong orang yang susah.”
“Mereka tu mana kenal saya? Saya nak orang qariah ini, itu lebih utama. Musafir dan pekerja asing ni siapa? Saya tak kenal mereka, mereka tak kenal saya.”
“Yang penting mereka saudara kita. Allah kenal kita semuanya Pak Haji. Puasa mengajar kita ikhlas. Ia ibadah paling tersembunyi, kita curi-curi makan atau sembunyi-sembunyi minum pun orang tak tahu. Allah sahaja yang tahu, tidak seperti solat, haji dan zakat, orang Nampak kita lakukannya. Usahlah bergaduh kerana nak buat baik Pak Haji…”
Itu cerita benar, tahun lepas saya alaminya. Tahun-tahun ini kita akan dengar cerita yang serupa walaupun dalam versi yang berbeza. Betapa agama menjadi ritual yang kosong makna. Masih ramai yang “menyembah” diri dalam sangka menyembah Ilahi.
No comments:
Post a Comment