Tuesday, August 18, 2009

Darihal Puasa, Iman dan Taqwa


Dapatkan Mesej Bergambar di Sini


Kalau solat menjadi tanda aras dan kayu ukur penganut ajaran Tauhid, nescaya hal ini sukar kita bincangkan. Ini kerana, sukar kita melihat penganut agama, selain Islam melakukan solat.

Walaupun sesekali kita pernah terdengar dan membaca bahawa di sana, ada beberapa penganut agama Yahudi misalnya pernah bersolat seperti penganut Islam juga. Tetapi, dalam realiti sekarang, sulit untuk kita perhatikan gerak laku solat penganut agama lain yang mirip kepada Islam.

Al-Qur'an yang merincikan solat penganut agama lain dengan penganut Islam terletak pada surah Ali Imran ayat 43. "Wahai Maryam! Taatlah kepada Tuhanmu, dan sujudlah serta rukuklah (mengerjakan solat) bersama-sama orang-orang yang rukuk."

Ada riwayat yang menyatakan bahawa solat yang mempunyai rukun rukuk di dalam solat ialah solat penganut Islam yang diajar oleh Nabi Muhammad s.a.w. Ini kerana solat penganut Nasrani tidak mempunyai rukuk. Wallahu'alam..

Menurut sesetengah pendakwah dan penceramah yang dahulunya Kristian Nasrani, pernah menyatakan bahawa Nabi Isa a.s menunaikan solat; suatu upacara keagamaan, ajaran Tauhid yang berasal daripada Ibrahim a.s.

Bagaimanapun, ciri-cirinya yang asli telah luput ditelan gelombang putaran ganas dan keasliannya rupa parasnya telah pudar dilapah arus masa.

Puasa, lambang amalan agama samawi

Oleh kerana, dialog mengenai agama di negara kita belum mencapai tahap yang baik, maka ada beberapa hal perbincangan yang tidak dapat kita lanjutkan di sini.

Bagaimanapun, tetap sahaja ada amalan agama Islam yang masih sama dan mirip kepada ibadat penganut Islam, iaitu puasa.

Manakala, amalan-amalan lain seperti solat, zakat dan menunaikan fardhu haji tidak mirip kepada amalan penganut lain.

Seperti yang difirmankan Tuhan di dalam al-Qur'an, "Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa." (Al-Baqarah: 183)

Pertamanya, dari nas ini umat Islam dapat mengenali agama-agama lain sebagai agama samawi dengan merujuk amalan berpuasa itu. Antara agama-agama yang memiliki ciri persamaan dari sudut amalan ini, iaitu berpuasa ialah Buddha, Hindu, Kristian dan juga Yahudi. Bagaimanapun, cara bagaimana amalan berpuasa dilaksanakan, ada sedikit perbezaan.

Jenis dan martabat berpuasa itu juga berbeza-beza mengikut agama, adat budaya bangsa dan martabat kerohanian seseorang itu.

Lantaran itulah, Tuhan menyatakan di hujung ayat itu, dengan harapan, amalan berpuasa yang kita lakukan itu dapat meningkatkan martabat kerohanian kita ke darjat ketaqwaan, iaitu darjat yang teragung dan paling tinggi.

Beriman atau bertaqwa?

Dapatkan Mesej Bergambar di Sini

Disebutkan dalam al-Qur'an, bahawa Tuhan menyeru orang yang beriman agar mencapai darjat ketaqwaan. Ini kerana, orang yang beriman, belum tentu dapat mencapai darjat ketaqwaan. Tapi, orang yang bertaqwa, sudah pastilah mereka beriman.

"Wahai orang yang beriman, bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benarnya, dan janganlah kamu mati melainkan berada dalam Islam. (Ali Imran: 102)

Juga kepada orang yang beriman itu, Allah s.w.t meminta mereka bertaqwa dengan cara menyatakan perkara yang benar walaupun pahit didengar. Ini kerana, orang yang beriman pun belum tentu dapat menyatakan perkara yang benar.

"Hai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kamu kepada Allah dan katakanlah perkataan yang benar, maka Allah memperbaiki bagi amalan-amalanmu, dan mengampuni bagimu dosa-dosamu.." (Al-Ahzab: 70 - 71)

Maka, hendaklah orang-orang yang beriman itu berjuang mendapatkan tempat di martabat ketaqwaan. Ini kerana, hanya yang mampu menyatakan kebenaran itulah yang layak digelar mencapai darjat ketaqwaan.

Orang-orang yang beriman turut diseru mencapai darjat ketaqwaan dengan menyediakan amalan sebagai bekalan untuk hari akhirat mereka. Ini kerana, ramai orang beriman, tetapi seperti tidak mengendahkan amalan mereka untuk akhirat.

"Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu bertaqwa kepada Allah, nescaya Dia mengadakan bagi kamu (petunjuk) yang membezakan antara yang benar dan yang salah, dan menghapuskan segala kesalahan kamu serta mengampunkan (dosa-dosa) kamu. Dan Allah (sememangnya) mempunyai limpah kurnia yang besar." (Al-Anfal: 29)

Kita biasa berdepan dengan kebuntuan hidup dalam kehidupan. Seolah-olahnya mereka gagal mengenal mana satu berlian dan permata, yang mana intan dan yang mana kaca. Mana yang betul dan salah.

Dan, kita seperti tidak berupaya mencari penyelesaiannya. Kenapa jadi begitu, walhal kita telah mengaku beriman kepada Tuhan? Mustahil Tuhan akan meninggalkan orang-orang yang beriman itu teraba-raba dalam mencari jawapan terhadap setiap permasalahannya itu.

Maka, jawapannya ialah - orang yang beriman yang ditimpa permasalahan tadi, masih tidak mencapai darjat ketaqwaan. Dan jika orang yang beriman itu bertaqwa, maka nescaya Tuhan menunaikan janjinya dengan cara memberikannya petunjuk.

Allah s.w.t mengingatkan kita dalam firmanNya, "Hai orang-orang yang beriman! Jauhi banyak berprasangka. Sesungguhnya sebahagian dari prasangka itu dosa. Dan jangan kamu mencari-cari kesalahan orang lain, dan janganlah sebahagian kamu mengumpat sebahagian yang lain. Adakah antara kamu suka memakan bangkai saudaranya yang sudah mati? Tentu kamu merasa jijik. Dan bertaqwalah kepada Allah, sungguh Allah Maha Penerima Taubat, Maha Penyayang." (Al Hujuraat: 12)

Perbezaan lain antara orang yang beriman dan bertaqwa itu ialah insan yang beriman itu masih lagi tidak membebas diri daripada sikap prasangka, mengumpat dan mencela saudara mereka, mencari-cari keaiban orang lain untuk dihebah.

Maka, orang yang beriman dan telah sempurna jiwanya kerana kerohaniannya melompat ke darjat ketaqwaan itu, akan bersih lidahnya daripada mengumpat dan telinganya dibersihkan daripada mendengar keaiban orang lain.

Ada banyak lagi perbezaan sikap antara orang yang beriman dan bertaqwa ini. Dan, seperti yang termaklum, amalan puasa itulah antara salah satu daripada amalan yang mampu meletakkan kerohanian seseorang ke darjat ketaqwaan jika diamalkan dengan penuh keikhlasan dan kewaspadaan.

Orang yang berpuasa, digalakkan untuk tidak mencampuri urusan mendengar keaiban orang lain, selalu menyibukkan dirinya dengan zikrullah dan wirid.

Jika semua ini tercapai, maka lahirlah sikap suka menegakkan kebenaran, menyatakan yang benar di depan pihak berkuasa, kerap muhasabah tentang bekalan akhirat dan lain-lain ciri ketaqwaan yang lain.

Puasa telah menyebabkan anggota kita letih untuk melakukan maksiat dan amalan kerohanian itulah yang akan menguatkan kembali jiwa dan raga kita untuk meneruskan kehidupan.

Amalan berwirid dan berzikir di bulan Ramadhan akan menyebabkan kita kembali kepada fitrah yang suci dan asal, jika dilakukan dengan sempurna dan ikhlas menuju rahmat Allah.

Sumber asal: iluvislam

RAMADHAN PENGHULU SEGALA BULAN


Dapatkan Mesej Bergambar di Sini

Alhamdulillah sekali lagi tahun ini kita diberikan kesempatan untuk berpuasa sekali lagi dalam bulan yang mulia ini. Bulan Ramadhan atau disebut bulan puasa memang dinanti-nantikan kedatangannya kerana ia dikatakan 'penghulu segala bulan'. Dalam bulan inilah semua orang Islam diwajibkan berpuasa, suatu amalan yang amat tinggi nilainya di sisi Allah swt.

Kenapa Ramadhan dipanggil 'penghulu segala bulan'? Ini adalah kerana dalam bulan ini Allah menurunkan al-Quran kepada Nabi Muhammad saw. Di samping itu dalam bulan Ramadhan ada satu malam yang digelar 'Lailatul-Qadr'. Malam ini mempunyai kelebihan yang menyamai amalan 1000 bulan (83 tahun) malahan lebih lagi. Ini bermakna hanya beramal satu ibadat diberikan pahala seolah-olah mengerjakan ibadat itu selama 83 tahun.

Nabi Muhammad ada menjelaskan "Permulaan Ramadhan adalah rahmat, pertengahannya pengampunan manakala akhir Ramadhan merupakan pelepasan dari seksa neraka." Betapa besar rahmat Allah diberikan kepada umat Nabi Muhammad saw. Meskipun berusia pendek namun ganjaran pahala yang diberikan seolah-olah menjadikan usia kita lebih panjang.

Rejab, Sy'aban dan Ramadhan adalah gandingan bulan yang mulia. Rejab dikatakan bulan milik Allah, Sya'ban milik Nabi Muhammad dan Ramadhan bulan bagi umat Muhammad. Ini bermakna bulan Ramadhan yang sedang kita lalui sekarang ini adalah bulan paling istimewa bagi kita umat Nabi Muhammad. Oleh sebab itu gembira menyambut ketibaan Ramadhan sahaja (belum berpuasa lagi) Allah mengharamkan kita dari api neraka. Malang bagi sebahagian daripada kita terlalu gembira menyambut kedatangan awal tahun 2009 sehingga bersekang mata menunggu beramai-ramai ketibaan 1 Januari - 12.00 tengahmalam dengan sukaria tetapi dengan Ramadhan tidak pula disambut begitu rupa. Neraca apakah penilaian yang kita gunakan?

Sepanjang Ramadhan kita berpuasa, menahan anggota dari melakukan perkara yang membatal atau mencederakan puasa. Setiap saat dipermudahkan untuk melakukan ketaatan kepada Allah. Pendek kata kita boleh mendapat pahala sepanjang masa dalam Ramadhan. Ini tidak dapat dilakukan pada bulan-bulan lain dan dalam ibadat-ibadat lain.

Begitu hebatnya tawaran dan anugerah Allah sehinggakan Malaikat Jibril menerangkan kepada Baginda saw bahawa orang yang tidak memperolehi pengampunan dalam bulan ini adalah orang yang betul-betul celaka dan malang. Mudah-mudahan kita semua tidak termasuk di dalam golongan yang tidak mendapat rahmat Allah di bulan Ramadhan ini.

Jibril mengatakan demikian lantaran amat mudah sekali mendapatkan keampunan Allah dalam bulan ini. Hal ini tidak berlaku dalam bulan-bulan lain. Mereka yang terlalu engkar dan melawan Allah sahaja yang terkecuali dari mendapat keampunan. Pintu kerahmatan ditutup baginya.

Sama-samalah kita memohon keampunan ke hadrat Allah swt sempena Ramadhan tahun 1430 ini semoga kita memperolehi keselamatan di dunia dan kesejahteraan di akhirat. Amin. Kita belum pasti akan bertemu dengan Ramadhan tahun 1431. Oleh itu, beribadatlah sebanyak mungkin dengan melakukan segala ketaatan seperti membaca al-Quran, bersedekah dan sebagainya di samping mengelakkan diri dari melakukan perkara yang dilarang oleh Allah.

Ya Allah, terimalah amalan kami yang kerdil dan bergelumang dengan dosa ini. Ampunilah kami sebagaimana Engkau mengampunkan umat terdahulu. Sesungguhnya kami sangat bergembira dengan kedatangan Ramadhan ini. Kami sedar sabda rasulmu bahawa mereka yang gembira menyambut Ramadhan, Engkau haramkan dari api neraka. Oleh itu kami memohon sepenuh hati semoga kami juga Engkau jauhkan dari azab neraka. Amin.

RAMADHAN: BULAN MUHASABAH DIRI


Dapatkan Mesej Bergambar di Sini


Pada dasarnya manusia dijadikan Allah dalam keadaan fitrah. Semasa membesar pendidikan yang diterima berbeza-beza mengikut faktor pendidikan yang diterima daripada ibu bapa dan keadaan persekitaran. Faktor-faktor ini mengubah dan menjejaskan fitrah kemanusiaan. Amat beruntunglah seseorang jika pendidikan dan tarbiyah yang diterima berpaksikan Al-Quran dan Sunnah Nabi saw. Sebaliknya amat rugilah jika amalan hidup bercanggah dengan kedua-dua peninggalan Nabi (Quran & Sunnah).

Allah amat mengetahui keadaan ini. Justeru, diwajibkan berpuasa setiap tahun bagi setiap individu sebagai satu cara untuk muhasabah, mengukur dan memeriksa diri sejauh mana ketaatan telah dilakukan dan sejauh mana kemaksiatan telah ditinggalkan. Introspeksi begini jarang dapat dilakukan di luar bulan puasa. Sebagaimana kenderaan perlu di'overhaul' setelah lama digunakan, begitulah manusia perlu di'overhaul' jasmani dan rohaninya melalui amalan berpuasa. Bulan puasa dalam aspek ini merupakan masa bagi umat Islam menjalani tarbiyah dan kursus pembinaan jasmani dan rohani berlandaskan syariat Islamiah supaya dapat menjalani hidup yang lebih sempurna pada masa hadapan.

Gangguan atau rintangan yang amat mencabar bagi setiap insan ialah syaitan. Syaitan ialah musuh manusia yang utama. Tugas utama dan 'core business' syaitan tidak lain tidak bukan hanya untuk menyesatkan manusia. Setiap detik kerjanya menjahanamkan manusia supaya akan terjun ke neraka seperti mana dirinya yang tiada harapan langsung masuk syurga. Dalam otaknya sudah disetkan begitu. Kita tidak perasan musuh kita yang halus lagi ghaib ini memasang pelbagai strategi untuk memukul kita, manakala kita pula asyik dilalaikan dengan pelbagai tugas, kerja dan amalan harian lain hingga terlupa makhluk syaitan ini hendak memerangkap kita. Nasib baiklah kita ada Allah yang boleh kita minta pertolongan.

Amalan puasa diwajibkan di antara lain ialah untuk memerangi syaitan. Selain berlapar atau menahan diri dari makan dan minum, kita juga dikehendaki puasakan pendengaran, penglihatan dan perkataan. Berlapar dengan tujuan menyempitkan perjalanan syaitan. Syaitan berjalan dalam diri kita melalui saluran darah. Dengan berpuasa syaitan tidak berpeluang menjadikan pembuluhan darah kita sebagai lebuhrayanya. Telinga dipuasakan dari mendengar yang haram, mulut dipuasakan dari mengeluarkan kata-kata yang jahat seperti mengumpat dan berbohong manakala mata pula dipuasakan dari melihat perkara yang dilarang atau diharamkan. Jika dilakukan dengan penuh ketaatan syaitan tidak langsung dapat peluang memeragkap kita di bulan ini. Tambahan pula dalam bulan ini dinukilkan bulan terbukanya pintu syurga dan ditutupkan pintu neraka.

Pendek kata dalam bulan ini, kita mesti menghisab diri dan mengawasi segala tindak laku kita supaya tidak mencemari amalan puasa. Nabi sentiasa mengingatkan kita supaya jangan menyamakan bulan ini dengan bulan-bulan lain. Mesti ada kelainannya kerana inilah keistimewaannya. Jika anggapan kita Ramadan sama dengan bulan-bulan lain, maka peruntukan pahala dan rahsia Ramadhan tidak akan kita perolehi dan kecapi kelazatannya sama sekali.

Setelah mempuasakan segala indera kita dari apa yang dilarang oleh Allah, kita digalakkan mengisi sepanjang Ramadhan dengan amalan-amalan sunat seperti membaca al-Quran, bersedekah, mengaji ilmu agama, sembahyang terawih dan sebagainya. Amalan di bulan puasa dibalas dengan gandaan pahala yang banyak.

Walaupun tidur orang puasa diberikan pahala, namun memperbanyakkan tidur di waktu siang tidaklah digalakkkan sebagaimana tidak digalakkan makan banyak pada waktu malamnya. Semasa berbuka memadalah dengan makanan yang sederhana. Janganlah melampaui batas dalam menyediakan makanan berbuka. Kita perlu mengingatkan diri kita tujuan puasa ialah untuk melawan godaan syaitan dan nafsu. Jika semasa berbuka kita penuhkan dengan pelbagai juadah, maka seolah-olah kita melayan semula kehendak syaitan dan nafsu. Bermakna tujuan puasa pada hari itu masih samar-samar dan tidak memberi kesan positif. Oleh sebab itu, Nabi saw pernah bersabda ramai orang berpuasa tidak dapat apa-apa kecuali lapar dan dahaga.

Syaitan sangat suka sifat membazir malahan mereka yang membazir dikatakan kawan syaitan. Tradisi kebanyakan kita membeli juadah dan kuih-muih yang banyak untuk berbuka adalah membazir kerana semasa berbuka hanya sebahagian yang kita makan; selebihnya dibuang saja.

Akhirnya dapat dibuat kesimpulan bulan puasa adalah bulan bagi umat Islam membuat persiapan diri memperkuatkan benteng jasmani dan rohani melawan godaan syaitan dan nafsu. Jika kita dikalahkan oleh syaitan dalam bulan-bulan lain, dengan bantuan Allah insyallah kita akan menang kerana dapat mengalahkan syaitan pada bulan Ramadhan yang mubarak ini. Kemenangan ini seharusnya tidak dihadkan dalam bulan ini saja; ia perlu dihayati seterusnya pada bulan-bulan berikutnya. Ingatlah kita sedang menjalani kursus dan bengkel mujahadah sepanjang Ramadhan. Budaya sepanjang kursus/bengkel mestilah diteruskan pada bulan-bulan lain. Jika ini berjaya dilakukan barulah dikatakan objektif puasa ini mencapai matlamatnya. Sama-samalah kita lakukan semoga amalan kita diterima oleh Allah.

Monday, August 17, 2009

Kasihku Pada Ramadhan


Ramadhan yang penuh makrifat
Ramadhan ditunggu-tunggu
kembali menjengah hati setiap Muslim
memekarkan keberkatan dan kebesaran
Yang Maha Kuasa

Ramadhan yang menyejukkan hatiku
yang melembutkan kerasku
yang mendamaikan gelodak rasaku
yang menghilangkan amarahku
yang menghadiahkan penghargaanku
buat insan-insan tersayang
yang menambahkan cinta kasihku
pada Yang Satu

Ramadhan
syarul Syiam
berikan aku kekuatan akal, fizikal, hati dan iman
jauhkan aku daripada perkara yang dikeji
yang mengurangkan keberkatan
ya Mutakkabir

Ramadhan
syarul Qiyam
malam-malammu malam terindah dalam hidup
malam-malam yg penuh ibadah
malam-malam yang penuh berkat
lalu,
haruskah aku membiarkan malam-malammu berlalu sepi
tanpa sujud syukurku pada
Ar-Rahman
Ar-Rahim

Ramadhan
syarul Quran
bait-baitmu adalah puisi agung
yang menyuntik penawar terbaik buat hati dan jiwaku
patah perkataanmu adalah keajaiban
adalah mukjizat dengan nikmat yang tertinggi
yang menjadi peganganku
penunjuk arah dalam langkah perjalananku
yang menyalurkan kasih suciku buat Yang Maha Agung

Ramadhan
syarul Tarbiyah
hari-harimu adalah satu didikan buatku
yang menundukkan egoku
yang menghilangkan rasa dendamku
yang menjernihkan segala keruh dihatiku
yang memupuk keinginanku menghayati sifat kekasih Allah
yang mulia disisi-Nya

Ramadhan
syarul Jihad
pada setiap langkahku
setiap degup nafasku
setiap denyut nadiku
setiap detik ingatanku

Islam
adalah matahari bagi hatiku
bulan bagi jiwaku
bintang bagi mataku

Ramadhan
perjuanganku menggapai solehah baru bermula
pertemukan aku pada ketibaan-ketibaanmu yang akan datang
rasa rindu dan kasih ini akan selalu mengiringiku sepanjang waktu
selama mana nafas masih menjadi milikku

YA ALLAH
sesungguhnya Engkau tahu setiap bait puisi hatiku

Wednesday, August 12, 2009

UMNO Pengkhianat Agama



Ust Nasrudin Hj Hasan At-Tantawi


1. Pertama saya mahu ucapkan syabas kepada Yb. Dato' Dr. Hassan Ali Pesuruhjaya PAS Selangor di atas ketegasan beliau biarpun berdepan dengan kecaman hebat dari pelbagai pihak termasuk dari rakan PAKATAN namun tetap teguh dengan pendirian mempertahankan prinsip perjuangannya yang berasaskan nilai Islam khasnya dalam isu arak . Beliau kini dianggap hero ummat Islam di Selangor khasnya dan dinegara ini amnya oleh rata - rata pencinta Islam .

2. Tahniah juga saya ucapkan kepada YAB Tan Sri Khalid Ibrahim selaku Menteri Besar Selangor yang sebentar tadi telah mengumumkan kawasan - kawasan [ majoriti muslim ] larangan menjual arak dan minuman beralkohol di Selangor . Saya sekali lagi mengucapkan tahniah kepada keduanya . Satu usaha awal untuk membawa negeri PAKATAN Rakyat menjadi lebih baik daripada UMNO dan BN . Semoga usaha diteruskan dan dikembangkan dalam banyak lagi perkara yang perlu diperbaiki dan jauhi sama sekali sebarang usaha yang hanya bersifat retorik .

3. UMNO dan BN pastinya kehabisan modal dan kini mereka terpaksa menggunakan peluru akhirnya untuk menyerang dengan mensasarkan peribadi pemimpin Pakatan Rakyat bukan lagi dasar perjuangan dan aktivitinya. Setelah teruk mereka membelasah Tuan Guru Hj. Hadi Awang sejurus selesai muktamar tempoh lalu , kemudian Tuan Guru Hj. Nik Abdul Aziz pula diasak oleh mereka menjelang pilihanraya Manek Urai dan kini mereka mensasarkan Dato' Seri Anwar Ibrahim pula yang dilabel sebagai pengkhianat bangsa melayu .

4. Pertamanya saya mahu tegaskan bahawa UMNO dan BN sewajarnya mencontohi Pakatan Rakyat bukan memusuhinya. Wujud perselisihan faham namun bijak mengatasinya . Tercetus masaalah dalaman tetapi cepat menanganinya . Ada kelemahan tetapi konsisten untuk memperbaikinya . Timbul kritikan dan cemuhan namun teguh dan tegas mempertahankan prinsip perjuangan .

5. Kedua : Saya menggesa supaya UMNO dan BN ambil langkah serupa di negeri - negeri yang diperintah dan ditadbir oleh mereka seperti apa yang dilakukan oleh Selangor malah ianya telah lama dilakukan oleh kerajaan negeri Kelantan sebelum ini dalam mengawal penjualan arak khususnya di kawasan - kawasan majoriti muslim . Islam tidak campur tangan berkait kes arak dalam lingkaran non muslim yang agamanya membenarkan mereka meminum minuman beralkohol itu . Tetapi tegas agar ia tidak melewati sempadan masyarakat muslim justeru agama Islam mengharamkan penganutnya membeli , menjual , mempamer , memproses dan meminum arak .

6. Ketiga : Saya mendesak agar UMNO dan BN jangan hanya bising isu Arak dan isu penghinaan terhadap Islam [ tanpa saya menafikan ia juga satu isu yang besar ] tetapi juga mesti memandang kepada isu - isu yang lain di mana ia turut mencabar kesucian Islam dan menghiris perasaan ummat Islam sementara mereka adalah kerajaan yang memerintah negara ini . Sebagai contoh mudah , Utusan Malaysia menyiarkan isu penghinaan terhadap Islam di muka hadapannya tetapi memuatkan keputusan sport TOTO , Magnum dan Horoskop dibahagian belakangnya . Ini satu persendaan . Akhirnya orang kata UMNO mempersendakan Islam.

7 . Keempat : Hentikan segala serangan peribadi terhadap pemimpin Pakatan Rakyat . Apalagi serangan itu tidak berasas dan hanya bertolak dari sentimen perbedaan ideologi politik . Tindakan UMNO dan BN bukan hanya menampakkan mereka sangat terdesak tetapi juga jelas kehabisan idea dan tidak mempunyai kredebiliti yang hebat dalam menghadapi saingan politik . Serangan kepada peribadi hanya akan berkesan apabila ia benar - benar berdiri di atas bukti penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa yang kukuh .

8. Kelima : Sampai masanya UMNO dan BN merombak segala dasar perjuangannya yang jelas bertentangan dengan Islam dan akhirnya mengheret UMNO dan BN terus hanyut dalam aktiviti yang bertentangan dengan Islam . Apabila UMNO dan BN berada dalam satu frame yang salah bagaimana mereka mahu membetulkan orang lain sekalipun orang lain juga berkemungkinan melakukan kesalahan .

9. Saya mengharapkan kepada semua ummat Islam khasnya tokoh - tokoh agama menilai sokongan mereka terhadap UMNO dan BN dan melihat jauh ke hadapan bagaimana keupayaan UMNO dan BN mampu mempertahankan Islam dan ummatnya di masa depan atau hanya pandai buat bising bila isu timbul sekadar menangguk di air keruh seperti Khairy dan Ali Rustam dan kemudiannya lari menyembunyikan muka bila isu selesai untuk mengintai peluang menangguk buat kesekian kalinya.

10. Contoh mudah saya bawa : mereka pertikaikan PAS kononnya gadai prinsip , alat DAP dan 1001 tohmahan . Tetapi alhamdulillah , dalam tempoh 2 tahun kita menerajui negeri di bawah Pakatan Rakyat ternyata banyak isu kita boleh selesaikan dengan baik biarpun bermula dengan perselisihan faham dan sebagainya . Isu terkini ialah arak yang akhirnya menyaksikan UMNO dan BN terpaksa menjilat pasir setelah menyalak sekian lama apabila PAS tegas dengan prinsip dan kerajaan Pakatan Rakyat sedia mengambil langkah perubahan yang positif .

Persoalannya , 50 tahun UMNO dan BN memerintah sehingga tersergam utuh kilang arak di Selangor kenapa UMNO dan BN senyap diam membisu sejuta bahasa . Kelu lidah macam orang kena stroke . Bila Pakatan Rakyat memerintah baru 2 hari [ baca 2 tahun ] hampir terjelir lidah mereka melaung slogan kononnya mereka perihatin terhadap isu agama dan sensitif terhadap sentimen ummat Islam .

Saya percaya kalau PAS memerintah Selangor sejak awal merdeka dulu , insyaallah tidak akan terbangun kilang arak sebesar itu . Kalau mereka mahu minum arak , kilang itu boleh di bina di Australia , Taiwan , Singapore atau mana - mana negeri yang tidak majoriti muslim kemudian dibeli secara terhad oleh kelompok yang agamanya membenarkan mereka meminum arak . Tapi , itu semua hanya kalau .... kalau PAS memerintah Selangor dulu :)

Harapan saya satu masa nanti , negara ini akan dipimpin oleh Islam agar segala syariatnya dapat dilaksanakan dan kemudian ia akan memberi keadilan kepada semua kaum , bangsa dan agama . Islam adalah agama yang adil dan keadilan itu adalah untuk semua .

Tuesday, August 4, 2009

BERADAB KEPADA PEJUANG TERDAHULU

Surah Al-Hadid ayat 10



“Dan mengapakah kamu tidak menafkahkan (sebahagian hartamu) pada jalan Allah, padahal Allahlah yang mempusakai (mempunyai) langit dan bumi? Tidak sama di antara kamu orang yang menafkahkan (hartanya) dan berperang sebelum kemenangan (penaklukan Makkah). Mereka lebih tinggi darjatnya daripada orang-orang yang menafkahkan (hartanya) dan berperang sesudah itu. Allah menjanjikan kepada masing-masing mereka (balasan) yang lebih baik. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.”

Pada bahagian awal ayat di atas, Allah menyuruh kita membelanjakan sebahagian harta pada jalan-Nya, tanpa rasa takut akan menjadi miskin atau mengalami kekurangan. Kerana kita menafkahkannya pada jalan Allah yang menjadi Pemilik alam semesta. Di tangan-Nya terletak segala perbendaharaan dan khazanah langit dan bumi. Dialah penguasa 'arasy yang agung. Apa sahaja yang kita nafkahkan di jalan-Nya, maka Allah yang akan menggantikannya, kerana Dialah sebaik- baik Pembalas dan Pemberi rezeki. Oleh itu janganlah takut mengalami kekurangan dalam berinfaq, kerana kita lebih patut untuk merasa aman dengan jaminan Allah berbanding apa yang ada di tangan kita sendiri. Sesungguhnya apa yang ada pada kita akan musnah sedangkan apa yang ada di sisi Allah akan kekal. Perasaan takut mengalami kekurangan dan menjadi miskin yang timbul di dalam diri kita itu sebenarnya adalah bisikan syaitan. Oleh itu, kita hendaklah lebih yakin dengan jaminan Allah yang menjanjikan keampunan dan balasan yang lebih baik. Sesungguhnya Allah tidak menyalahi janji-janji-Nya.


Pada bahagian kedua ayat di atas yang bermaksud “Tidak sama di antara kamu orang yang berinfaq dan berperang sebelum kemenangan (Penaklukan Makkah). Mereka lebih tinggi darjatnya daripada orang-orang yang berinfaq dan berperang sesudah itu”, Allah SWT meletakkan neraca dan nilai bahawa kedudukan orang-orang yang berjuang dan berkorban ketika dalam keadaan payah dan susah tidaklah sama dalam pandangan Allah dengan orang-orang yang berjuang dan berkorban setelah berlalu masa kepayahan dan kesusahan.

Dalam konteks ayat di atas, kedudukan para sahabat yang berjuang dan berkorban sebelum penaklukan Makkah jauh lebih tinggi daripada mereka yang berjuang dan berkorban selepas itu. Keadaan ini dapat difahami kerana perjuangan sebelum penaklukan Makkah adalah lebih berat dan lebih sukar. Jadi, mereka yang berjuang ketika itu adalah orang-orang yang benar imannya. Adapun selepas penaklukan Makkah, keadaan masyarakat ketika itu memeluk agama Allah secara berbondong-bondong.

Potongan ayat di atas juga mengisytiharkan supaya kita beradab terhadap orang-orang yang berjuang terlebih dahulu sebelum kita di jalan Allah dan tidak melupakan begitu sahaja jasa-jasa mereka. Kisah perselisihan antara Khalid bin Walid dengan Abdul Rahman bin Auf sepatutnya menjadi pengajaran kepada kita. Kedua-duanya adalah sahabat Rasululllah SAW. Tetapi Abdul Rahman memeluk Islam dan berjuang di jalan Allah jauh lebih awal daripada Khalid. Abdul Rahman memeluk Islam pada tahap Makkah yang awal menerusi dakwah fardiyah yang dilakukan oleh Abu Bakar al-Siddiq, sedangkan Khalid memeluk Islam selepas perjanjian Hudaibiyah (sebelum penaklukan Makkah)

Ibnu Kathir dalam kitab tafsirnya menceritakan perbalahan antara Khalid dan Abdul Rahman terjadi selepas penaklukan Makkah. Ketika itu Rasullullah SAW mengutus Khalid untuk berjumpa Bani Jadzimah dan menawarkan mereka masuk Islam atau berperang. Jawapan yang diterimanya daripada Bani Jadzimah adalah “Soba’na, soba’na", bukan “aslamna” (soba’na dalam bahasa mereka bermakna “kami telah keluar dari agama kami dan masuk agama kamu” iaitu Islam). Atas alasan itu Khalid memerintahkan tentera Islam membunuh mereka, termasuk yang tertawan. Tetapi Abdul Rahman, Abdullah bin Umar dan beberapa sahabat lain tidak bersetuju dengan tindakan Khalid itu. Maka bertengkarlah Khalid dengan Abdul Rahman. Agaknya Khalid telah mengeluarkan kata-kata yang menyentuh hati Abdul Rahman. Ketika perkara itu dilaporkan kepada Rasululllah SAW, maka Rasululllah SAW berkata kepada Khalid, “Jangan kamu usik para sahabatku. Demi Allah yang jiwaku dalam tangan-Nya, sekiranya kamu menafkahkan emas sebesar bukit Uhud dan gunung seekalipun, ia belum dapat menyamai amal- amal mereka.”

Walaupun Khalid juga seorang sahabat Rasulullah SAW dan termasuk golongan sahabat yang telah masuk Islam dan berjuang sebelum penaklukan Makkah, ucapan Rasulullah kepada Khalid itu menunjukkan sahabat-sahabat yang berjuang lebih awal dan terdahulu tidaklah boleh diperlecehkan jasa-jasa mereka.

Hadith ini dan potongan ayat di atas menunjukkan darjat sahabat Rasulullah SAW tidaklah sama semuanya. Di antara mereka ada "al- Sabiquna al-Awwalun", "Muhajirun" dan "Ansar". yang berjuang dan berinfaq selepas penaklukan Makkah dan ada juga golongan "al-tulaqa" iaitu golongan yang dibebaskan oleh Rasulullah SAW daripada hukuman bunuh. Darjat mereka tidaklah sama di sisi Allah. Walupun begitu mereka semua adalah sahabat Rasulullah SAW. Allah telah memuliakan mereka menjadi sahabat Rasulullah SAW dan Allah juga telah melebihkan mereka di atas kita dengan sebab persahabatan mereka dengan Rasulullah SAW. Oleh itu para ulamak hadith telah sepakat bahawa seluruh sahabat Rasulullah SAW adalah “udul” iaitu semua mereka adalah baik dan riwayat mereka dapat diterima. Kita tidak boleh jadi seperti golongan Rafidhah yang menolak sebahagian sahabat Rasulullah SAW, termasuk Abu Bakar, Umar, Uthman dan isteri-isteri Rasulullah SAW. Mereka membayangkan diri mereka sama taraf atau lebih tinggi darjatnya di sisi Allah berbanding para sahabat Rasulullah SAW. Jauh panggang daripada api !!!

Berkenaan dengan adab terhadap mereka yang berjuang atau beriman terlebih dahulu daripada kita, maka mereka yang terlibat dengan harakah dan dakwah Islamiah, terutama golongan pemuda, sudah sepatutnya menghormati para syuyukh dan pendahulu mereka.Pemuda tidak boleh menganggap diri mereka sama taraf dengan orang yang telah menghabiskan usia untuk berjuang di jalan Allah, apatah lagi memperlecehkan dan memperkecilkan mereka.Pemuda yang berada di atas jalan dakwah mestilah ingat bahawa belum tentu mereka dapat beristiqamah di atas jalan ini sehingga rambut mereka beruban. Kalau mereka sampai ke tahap itu, sudah tentu mereka juga tidak mahu diperlakukan dengan cara kurang hormat dan kurang adab oleh mereka yang lebih muda dan datang kemudian. Alangkah indahnya ketika Allah mengabadikan doa yang telah diucapkan oleh golongan yang datang kemudian selepas Muhajirin dan Ansar dengan kata mereka:“Ya Allah, ampunilah kami dan saudara-saudara kami yang lebih dahulu beriman daripada kami, dan janganlah Engkau jadikan perasaan dengki di dalam hati kami tehadap orang-orang yang beriman. Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Penyantun lagi Maha Mengasihani.” (Al-Hasyr: 10)Arial;">Ini adalah adab yang sepatutnya diteladani oleh mereka yang terlibat dengan harakah Islamiah.

Pada bahagian akhir ayat di atas, Allah berfirman yang bermaksud :“Allah menjanjikan pada masing-masing mereka balasan yang terbaik.”Ini menunjukkan bahawa mereka yang berjuang dan berinfaq sama ada sebelum dan sesudah kemenangan, masing-masing akan mendapat syurga kurniaan Allah. Sesungguhnya syurga Allah tetap terbuka luas bagi mereka yang berjuang dan berinfaq di jalan-Nya, tanpa mengira masa dan tempat. Tetapi kita perlu ingat bahawa syurga Allah itu pun bertingkat-tingkat. Oleh itu marilah kita berusaha untuk mendapat syurga Allah yang paling tinggi.

Sunday, August 2, 2009

RENUNGAN BERSAMA

Kitakah Pendakwah?.. Satu Muhasabah Jujur





Seorang Da’ie – bersegera menunaikan Solat berjamaah apabila azan telah dikumandangkan
Kita – selalu melewatkan solat dan hanya sempat dengan saf beberapa detik sebelum Imam salam

Seorang Da’ie – mewajibkan dirinya agar tetap membaca Al-Quran setiap hari walau sedikit
Kita – sering terlupa membaca Al-Qur’an dengan beralasan sibuk dan membacanya sesekali setelah berlalu berhari-hari

Seorang Da’ie – amat memerhati dan menjaga masanya, tidak diisi secara sia-sia melainkan dengan sesuatu yang terancang dan bermanfaat
Kita – kurang member perhatian kepada masa, sering membuangnya dengan sia-sia dan melakukan banyak perkara secara kebetulan

Seorang Da’ie – selalu terasa dirinya diawasi oleh Allah, mengingati akhirat dan mempersiapkan diri untuk menghadapinya
Kita – sering tidak terasa kebersamaan Allah, melupai akhirat dan kematian serta kerap menangguh-nangguh amal dan taubat

Seorang Da’ie – suka menghadiri halaqah ilmu, sangat mencintai ilmu dan Ulama’ serta berlapang dada dengan teguran atau nasihat sebagai proses peningkatan diri
Kita – cepat merasa cukup dengan ilmu yang ada, kurang bermotivasi dengan majlis ilmu dan sukar menerima teguran orang lain

Seorang Da’ie – rumahtangganya dihiasi dengan bi’ah solehah, persekitaran tarbiyah, hidup dengan sunnah dan ibadah serta meriah dengan hiburan Al-Qur’an atau nasyid-nasyid Islami
Kita – rumah menjadi sarang syaitan, kosong dari gema Al-Qur’an, hambar dari ruh ibadat dan sunnah, penuh dengan maksiat, hiburan, tayangan-tayangan televisyen yang merosakkan akhlak

Seorang Da’ie – menguasai diri, rasional, berlaku adil terhadap sesiapa pun dan menetapkan sesuatu dengan benar
Kita – sering dikuasai emosi dan marah sehingga membelakangkan keadilan, kebenaran atau kebaikan orang lain

Seorang Da’ie – jiwanya dipenuhi cinta dan kasih sayang, mudah memaafkan, berjiwa besar dan tidak pendendam
Kita – jiwa dirajai dengan benci, suka bermusuhan, sukar memaafkan, keras, kasar dan pendendam

Seorang Da’ie – menjauhi riba, berusaha seupaya mungkin memastikan setiap urusan muamalat terpelihara dari unsur haram dan syubhat
Kita – mencari-cari alasan bagi mengharuskan terjerumus dalam riba, memandang remeh dan tidak sensitive dengan perkara yang haram maupun syubhat dalam muamalat

Seorang Da’ie – memperuntukkan sebahagian harta yang dimilikinya walaupun sedikit untuk dana dakwah
Kita – tidak rasa pentingnya infak, tiada peruntukan untuk dana dakwah kecuali sekali sekala malah zakat (selain zakat fitrah)pun sering terabai

Seorang Da’ie – tahu menguruskan kewangan dan sentiasa menyimpan di masa senang sebagai persiapan di masa kesusahan mendadak
Kita – boros, tidak membudayakan tabungan, suka membuat pinjaman dan tidak mengurus kewangan secara berhemah

Seorang Da’ie – sentiasa berfikir, bangun, berdiri dan bergerak mengusahakan strategi demi strategi untuk menjayakan dakwah Islam
Kita – menunggu, menanti, mengharap keajaiban dan kebetulan dalam usaha menjayakan dakwah

Medan berbicara berbeza dengan medan berfikir, medan amal berbeza dengan medan berbicara, medan jihad berbeza dengan medan beramal, medan jihad yang benar berbeza dengan medan jihad yang salah
Sangatlah mudah bagi sebahagian besar manusia untuk berfikir. Namun tidak semua yang terdetik dalam benak fikiran mampu terungkap dengan kata-kata yang keluar dari lisan. Banyak orang yang boleh berbicara, tetapi amat sedikit di antara kata-kata ucapan itu tercermin dalam bentuk perbuatan. Masih banyak orang yang mampu berbuat amal, tetapi hanya sedikit yang mampu menanggung beban jihad yang begitu berat. Ada orang yang sanggup menanggung beban jihad, tetapi tidak ramai yang mampu berjihad dengan istiqamah!

Kesimpulannya, pendakwahkah aku?